Ada ketikanya
pemandu kereta tidak selesa apabila stereng yang dipegang bergetar dan tidak
stabil kerana berat ke sebelah kiri atau kanan. Lebih merisaukan apabila
seluruh badan kereta ikut bergetar.
Apabila berhadapan dengan keadaan ini, antara sebab utama
kerosakan yang berlaku diberi perhatian termasuk tekanan tayar depan terlalu
rendah atau ukurannya tidak sama, kehausan tayar depan tidak sama, kehausan
atau kelonggaran sambungan sistem kemudi atau kotak gear stereng bergoyang,
penyelarasan jajaran roda depan kurang tepat dan roda depan tidak seimbang.
Jika menghadapi masalah seperti itu pemandu dan penumpang pasti tidak selesa,
lebih-lebih lagi jika sedang dalam perjalanan jauh. Untuk itu, punca kerosakan
dan getaran perlu diketahui. Apabila memandu kenderaan penumpang atau trak,
terutama trak kecil diatas jalan kasar atau rosak, biasanya akan terasa ada
goncangan sehingga stereng perlu dipegang dengan kuat. Namun demikian, anda
juga dapat merasakan adanya getaran atau goncangan pada stereng dan badan
kenderaan walaupun keadaan jalanraya datar dan baik, pada suatu kelajuan antara
70 kilometer sejam (kmj) dan 80km.
Keadaan sebegini dinamakan 'shimmy'. Jadi, jika
berhadapan dengan keadaan begini mula-mula periksalah tekanan tayar depan,
keadaan sistem kemudi atau skru roda depan. Kemudian periksa kehausan tayar
depan, sebaik-baiknya masih mempunyai rusuk bunga dengan tebal
sekurang-kurangnya 2mm.
Gunakan tayar baru untuk perjalanan keluar bandar. Ada kemungkinan getaran
yang berlaku boleh dihilangkan apabila tayar yang sudah haus diganti dengan
tayar baru atau setelah tayar kiri-kanan ditukar kedudukannya. Namun demikian,
jika getaran masih terasa juga, sebaiknya pemeriksaan dilakukan dengan lebih
teliti kerana dibimbangi kerana disebabkan kehausan atau kelonggaran pada
sistem rod kemudi dan sistem gantungan depan; atau kerana penyelarasan
penjajaran roda depan yang kurang tepat hingga menyebabkan roda tidak seimbang.
Untuk memeriksa dan membuat pembaikan bagi masalah berkenaan diperlukan alat
dan kemahiran. Roda tayar dilengkapi satu alat pengimbang. Alat itu menunjukkan
letak dan besarnya pengimbang yang harus dipasang pada rim roda.
'Shimmy' boleh terjadi apabila roda tidak dikunci dengan
baik pada tempatnya, atau rod gandar tidak segaris dengan lubang pada roda.
Jadi, banyak faktor yang boleh menyebabkan 'shimmy'; beberapa kesalahan dapat
diperbaiki dengan mudah tetapi ada pula yang memerlukan kepakaran tertentu
untuk mengatasinya.
Sebelum ini anda mengisi RM30 untuk mengisi petrol kereta
anda dan boleh bergerak hingga 200 kilometer. Kini dengan jumlah yang sama
kereta anda cuma dapat bertahan 150 kilometer saja. Ada yang mengatakan kereta anda sudah kuat
makan petrol.
Penggunaan petrol yang bertambah disebabkan beberapa
faktor seperti kebocoran, permukaan bahan api dalam ruang pelampung karburetor
terlalu tinggi, penapis udara tersumbat atau pelarasan skru pada karburetor
kurang tepat.
Selain itu, ia mungkin berpunca daripada saat penyalaan kurang tepat, plag
haus, suis pemutus arus terbakar, mampatan tidak cukup, injap yang tidak
berfungsi, ekzos tersumbat, masalah pada cekam atau brek bergesel.
Bagi mengetahui puncanya, pertama, pemilik perlu
memeriksa dengan melihat pada tempat meletak kenderaan.
Jika ada bekas titisan minyak atau terhidu bau petrol di kawasan itu, bermakna
kenderaan mungkin mengalami kebocoran dan ia perlu dihantar ke bengkel untuk
dibaiki. Bagaimanapun, jika kebocoran berlaku pada sambungan paip petrol,
ketatkan sambungan yang longgar menggunakan spanar dan jika masih bocor, buka
skru berkenaan dan lilitkan benang vinil dan ketatkan sambungan itu kembali.
Sebenarnya ada beberapa tip dan cara yang paling minimum
untuk menjimatkan penggunaan bahan api sekali gus menjimatkan perbelanjaan
harian anda. Sehubungan itu, adalah penting bagi anda memerhatikan kadar
penggunaan petrol bukan sekadar harganya tinggi tetapi penggunaan bahan itu
secara berlebihan menandakan enjin kereta anda mengalami kerosakan.
Jika anda mendapati penggunaan petrol pada kenderaan
secara berlebihan, periksa puncanya sebelum membeli sebarang alat bantuan
mengurangkan penggunaan petrol yang banyak di pasaran. Ini kerana pembelian
alat berkenaan mungkin tidak memberi kesan sepatutnya jika keadaan enjin kereta
anda mengalami masalah hingga menyebabkan penggunaan petrol bertambah. Umumnya
cara terbaik mengekalkan tahap penggunaan petrol ialah dengan melakukan
pelarasan enjin.
Selain itu, perkara penting yang perlu diketahui pengguna
ialah sikap dan cara pemanduan kerana ia banyak mempengaruhi penggunaan petrol
kereta. Antaranya, menggunakan gear dua atau tiga terlalu lama sebelum menukar
ke gear seterusnya, tabiat menekan pedal minyak terlalu kuat ketika pemanduan
mendatar atau menuruni bukit boleh menyebabkan penggunaan petrol yang
berlebihan. Sehubungan itu, apabila anda melakukan pelarasan enjin, ia membantu
mengurangkan penggunaan petrol sehingga 15 peratus di samping teknik memandu
yang salah juga menjadi punca penggunaan petrol melebihi 20 peratus atau lebih.
Di samping itu, anda juga perlu mengetahui apabila membawa
bebanan yang lebih daripada kadar yang sesuai juga menyebabkan kadar penggunaan
petrol melebihi dari tahap biasa.
Oleh itu, anda perlu perhatikan dalam but kereta anda, mungkin ada banyak
barang yang tidak sepatutnya berada dalam but tetapi dibawa ke sana ke mari. Ia pasti menambah beban enjin.
Anda harus membawa barang yang perlu saja seperti alat
membaiki kereta dan alat yang dapat membantu ketika kecemasan.
Karier (alat membawa barang atas bumbung kereta) juga boleh menambah penggunaan
petrol pada kadar lima
peratus. Karier menghalang udara berlepas ke belakang dengan sempurna ketika
kereta memecut.
Enjin dalam keadaan panas normal juga boleh membantu meningkatkan perbatuan dan
prestasi kereta anda. Biarkan enjin panas sebelum memulakan perjalanan dan
jangan sekali-kali memulakan perjalanan tanpa terlebih dulu merancang jalan
mana untuk ke destinasi.
Ada ketikanya
pemandu tidak berasa selesa apabila stereng menjadi semakin ketat dan berat.
Anda perlu menggunakan lebih tenaga untuk memutar stereng dan keadaan ini
menyusahkan terutamanya ketika meletak kenderaan dan apabila perlu banyak
membelok.
Antara sebab keadaan ini berlaku termasuk tekanan tayar
depan yang terlalu rendah, penjajaran (alignment) tayar depan yang kurang
tepat, kekurangan atau kerosakan minyak pelincir di dalam kotak gear stereng,
kekurangan gris pada sambungan rod stereng atau pengalas tayar depan dan
penyelarasan yang kurang sempurna pada peralatan pengemudian.
Apabila berhadapan dengan keadaan sebegini, mula-mula
periksalah tekanan tayar hadapan dan pelinciran sambungan rod stereng. Agar
pemeriksaan dapat dilakukan dengan mudah, tongkatlah kenderaan hingga kedua-dua
roda depan tergantung. Kemudian periksalah adakah sambungan dan skru sistem
pengemudian cukup ketat.
Antara bahagian yang harus diutamakan pemeriksaannya
termasuk kotak gear stereng, sambungan bebola atau gantungan depan termasuk
hujung dan pangkal rod pengikat. Untuk mengetahui kerosakannya, putarlah
stereng ke kiri dan ke kanan. Selepas itu putarlah stereng ke kanan penuh,
kemudian gerakkan stereng sedikit ke kiri dan ke kanan.
Sistem pengemudian mempunyai peranan yang sangat penting,
maka waspadalah terhadap pelbagai kelainan yang wujud. Dalam keadaan lain pula,
ketika memandu kenderaan di atas jalan yang datar, stereng terasa cenderung
untuk berputar ke sesuatu arah. Jadi, stereng terpaksa dipegang dengan kuat
untuk mengelakkannya terus berputar ke satu arah.
Keadaan ini biasanya terjadi disebabkan tekanan tayar
kiri dan kanan yang tidak sama, diameter rim kiri dan kanan yang tidak sama,
penyelarasan penjajaran roda depan kurang tepat, pegas (spring) gantungan depan
yang sudah lemah, patah atau kurang baik pemasangannya, penggalas roda depan
sudah rosak atau kurang baik penyelarasannya dan brek dari salah satu roda
depan atau belakang bergesel.
Apabila berhadapan dengan keadaan ini, pertama pastikan bahawa
beban kenderaan cukup seimbang. Kemudian periksalah sama ada kedua-dua tayar
depan dan belakang sama tekanannya. Jika tidak, samakan. Pandu kenderaan
perlahan-lahan di atas jalan datar. Luruskan arah kenderaan, rasa dan
perhatikan bagaimana kenderaan berjalan. Apabila kenderaan masih cenderung
untuk membelok ke satu arah, hentikan kenderaan dan lakukan pemeriksaan
seterusnya.
Diameter luar rim kiri dan kanan (untuk roda depan dan
belakang) harus sama. Kemudian periksa adakah salah satu pegas depan sudah
lemah atau patah. Selain itu, ada kemungkinan juga penyelarasan brek kurang
baik atau hanya sebelah yang berfungsi.
Kerosakan pada sistem kemudi boleh menjejaskan sistem
keselamatan. Oleh itu, penjagaan aspek penjajaran roda depan tidak boleh
dipandang ringan.
Seperti yang kita tahu, brek sangat penting dalam sebuah
kereta. Tanpanya tak mungkin kita berani memandu kereta tersebut sekiranya kita
mengetahuinya.
Kepada pemilik kereta yang telah menukar injin kereta
mereka kepada injin yang mempunyai "kuasa kuda membrek" atau BHP yang
lebih tinggi (lebih 25 bhp ke atas), pastikan anda memeriksa dan menilai
kembali sistem brek original yang ada pada kereta anda. Jangan kerana nak
jimat, anda abaikan sistem brek anda. Lebih baik sekiranya semasa anda membeli
haftcut kereta anda, beli bersama sistem brek kereta tersebut dan pasangkan
pada kereta anda. Pernah terjadi kereta kancil yang telah di tukar injin kepada
Mira L5 tapi sistem breknya masih original. Dan kebetulan semasa keluar dari
bengkel, keadaan kecemasan berlaku dan kereta tersebut tidak dapat berhenti
walaupun pemandu mengatakan dia tekan brek sampai berdiri.
Sistem asas brek terdiri dari disk atau drum, pelapik
brek (pad brek), saluran minyak, pam vacum(objek besar hitam bulat leper
betul-betul di hadapan steering dalam kompamen injin), tabung minyak injin,
padel brek (tempat tekan brek). Kesemua peralatan asas yang di atas mestilah
dijaga dengan baik supaya brek berkesan.
Kereta Baru
Semasa service pertama, minta mekanik memeriksa kesemua
disk dan drum brek termasuk pelapik brek. Pastikan pelapik brek betul betul
terapung di antara dua angkup dan disk berada di tengah. Untuk drum, pastikan
pelapik brek tidak menyentuh drum atau kesan geseran yang kelihatan adalah sama
rata. Jika tidak rata, minta mekanik periksa kerana perkara ini akan menjadi
masalah bila ia dibiarkan. Kalau dapat minta mekanik melaraskan pedal brek
supaya tidak terlalu 'makan' mengejut dan sesuai dengan panjang kaki kita.
Sekiranya minyak brek sudah kotor(keruh warnanya), minta mekanik tukar.
Cara Penjagaan Sistem Brek.
1. Setiap sebulan sekali, periksa paras minyak brek
kereta anda (botol minyak depan vacum pam). Pastikan minyak berada diparas
antara minimum dan maksimum. JANGAN SEKALI-KALI MEMANDU SEKIRANYA PARAS MINYAK
BREK BERADA DI BAWAH PARAS MINIMUM.
2. Setiap 6 bulan semasa kita hendak merotate tayar
kereta kita, periksa pelapik brek. Pastikan lapisan pencengkam masih tebal.
Sekira kita dapati pencengkam 'makan' tidak sama antara kiri dan kanan, minta
mekanik periksa sistem saluran minyak brek atau sistem tekanan brek kerana
kemungkinanatekana yang dikenakan ke atas kedua-dua brek tidak sama dan ini
sangat merbahaya kepada pemanduan terutama membrek semasa kelajuan tinggi.
Perkara yang sama juga perlu dilakukan kepada brek drum.
3. Sekiranya terdapat kesan lelehan minyak brek
(kelihatan cat atau apa-apa bahan berasal dari petroleum mencair) pada
mana-mana bahagian, minta mekanik memeriksanya. Jangan ambil mudah perkara ini
kerana kebocoran ini mungkin keci tapi akan menjadi besar semasa membrek kerana
tekanan yang dikenakan ke atasnya.
4. Semasa menambah minyak brek, pastikan minyak brek yang
betul spesifikasinya. Dot 3 untuk kegunaan biasa (biasanya kereta yang
mempunyai disk di depan dan drum di belakang) dan Dot 4 untuk kegunaan berat
(untuk kereta yang mempunyai sistem 4 roda disk dan kereta berkuasa tinggi).
Jika tidak pasti tanya mekanik kerana kesilapan minyak brek boleh menyebabkan
keseluruhan sistem brek kita akan mengalami kerosakan terutama pada seal yang
diperbuat daripada getah.
5. Sekiranya terdapat kesan calar pada disk atau pada
drum, minta mekanik menilai samada boleh pakai lagi atau tidak. Jika kita
hendak menukar pelapik brek, saya cadangkan asah kembali disk atau tukar drum
kepada yang lebih baik. Kesan calar ini boleh menjadi penghalang pelapik brek
mencengkam disk atau drum. Hasilnya, brek akan kurang berkesan.
6. Kerosakan yang selalu berlaku adalah brek 'jam'.
Keadaan ini berlaku kerana pelapik brek tidak kembali terapung apabila kita
lepaskan brek dan terus mencengkam disk. Kerosakan adalah pada angkup yang
mengawal pelapik brek.
7. Untuk kereta auto, pelapik brek hadapan akan lebih
cepat haus daripada belakang (biasanya dua kali ganda cepatnya), pastikan anda
lebih kerap memeriksa pelapik brek hadapan.
8. Sekiranya anda ingin mengubahsuai sistem brek kereta
anda, pastikan anda mendapat kebenaran bertulis daripada JPJ kerana adalah
menjadi kesalahan dan syarikat insuran kita akan melindungi anda sekira
kemalangan berlaku disebabkan sistem brek dan sistem brek anda telah ditukar
tanap kebenaran JPJ.
9. Semasa memandu elakkan kaki daripad sentiasa berada di
atas padel brek. Ini dapat menjimatkan penggunaan pelapik brek.
10. Semasa menuruni bukit yang curam, jangan gunakan
brek, sebaliknya gunakan brek injin (gear rendah) untuk mengawal kelajuan
kereta anda.
11. Sekiranya anda suka memandu laju dan secara
aggresive, tukar pelapik brek kereta anda kepada yang lebih tahan panas seperti
project U. Pastikan anda menukar juga sistem saluran minyak brek anda kepada
saluran bersalut steel. Ini bagi memastikan sistem brek kereta anda dapat
berfungsi dalam keadaan tekanan dan suhu dan tinggi dan tindakbalas brek anda
akan lebih cepat apabila padel ditekan.
Akhir sekali, cuma pastikan setiap kali anda hantar
kereta anda untuk ditukar minyak injin, minta mekanik memeriksa juga minyak
brek, minyak gear box, pelapik brek, lampu brek ketiga, aras padel brek dan
clucth, tekanan angin tayar, aligment tayar, spark plug, penapis angin, penapis
petrol dan sebagainya. Jangan cuma tukar minyak hitam saje kerana peralatan
lain perlu juga selalu diperiksa. Jangan tertipu dengan mekanik yang cuma menukar
minyak hitam dan penapis minyak hitam apabila kita menghantar kereta untuk di
service dan kita dikenakan bayaran yang tinggi untuk upahnya.